Tarikh mengundi dah dekat... Risau memikirkan perjalanan jauh yang terpaksa ditempuhi... Harap2 dijauhkan dari keguguran... Ya Allah, Selamatkan kandunganku...
Risiko Perjalanan Jauh
Ketika hamil, anda mudah berasa letih. Tambahan pula, daya
tahan tubuh semakin berkurangan. Ikuti ulasan lanjut, doktor pakar sakit puan
dan perbidanan dari Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Balakrishnan Subramaniam.
Di awal usia kandungan, anda masih boleh melakukan
perjalanan dalam jarak perjalanan yang jauh. Namun, tidak bagi anda yang
mengalami komplikasi kehamilan seperti pendarahan, muntah yang teruk ataupun
pernah mempunyai sejarah keguguran di kehamilan terdahulu. Sama juga halnya
dengan anda yang hamil lebih daripada 34 minggu.
Anda tidak digalakkan berjalan jauh terutamanya perjalanan
yang mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke destinasi yang dituju.
Apatah lagi jika laluan yang digunakan tidak rata. Ketahuilah, perjalanan jarak
jauh yang dilakukan pada akhir usia kandungan, mendedahkan anda kepada risiko
kelahiran pramatang. Sehubungan itu, wanita hamil yang kerap melakukan
perjalanan jarak jauh turut berhadapan dengan risiko yang sama.
Walau bagaimanapun, jika perjalanan jauh masih perlu
diteruskan, anda harus memberi perhatian kepada kesihatan diri sendiri.
Oleh yang demikian, duduk dalam kedudukan yang betul dan selesa, jangan duduk
terlalu lama, jauhi alkohol, minum air dalam jumlah yang banyak dan keraplah
melakukan senaman regangan ringkas atau pergerakan kaki. Langkah sebegini amat
penting untuk dititikberatkan bagi mengelakkan masalah darah beku, memperbaiki
perjalanan darah, menggalakkan regangan otot yang akhirnya dapat memberikan
keselesaan kepada diri anda sepanjang perjalanan.
Sementara itu, antara perkara yang perlu diberi perhatian
sebelum memulakan perjalanan jarak jauh adalah sentiasa membawa ubat yang
dibekalkan oleh doktor yang memeriksa kehamilan sebagai persediaan menghadapi
sebarang kemungkinan khususnya kepada anda yang mempunyai masalah kesihatan
seperti asma. Anda juga dinasihatkan sentiasa membawa bersama rekod pemeriksaan
kehamilan terutamanya bagi yang mempunyai kandungan bermasalah.
Namun, adalah lebih baik untuk anda mengelakkan perjalanan
jarak jauh di akhir usia kehamilan. Sekiranya berlaku kelahiran pramatang,
risikonya bukan sahaja kepada bayi yang dikandung, tempiasnya turut akan
mengenai diri anda sendiri.
Guna kereta
Perjalanan jarak jauh yang menggunakan kereta adalah pilihan
terbaik untuk anda. Dengannya, anda boleh berhenti di mana sahaja dan pada
bila-bila masa yang dikehendaki. Tidak kira sama ada di tepi jalan atau di
kawasan rehat lebuh raya, anda boleh mengambil kesempatan untuk berehat
seketika untuk melakukan senaman regangan.
Perlu anda tahu bahawa ibu hamil mempunyai komposisi darah
yang boleh mengakibatkan pembekuan darah dalam saluran vena. Keadaan ini boleh
mendatangkan bahaya jika darah beku menyumbat saluran paru-paru dan
mengurangkan paras oksigen dalam tubuh sehingga membahayakan nyawa. Secara
tidak langsung bayi dalam kandungan juga boleh diancam mudarat yang sama.
Naiki kenderaan awam
Seboleh-bolehnya elakkan penggunaan kenderaan awam seperti
bas dan kereta api. Hal ini kerana, anda tidak berupaya untuk bergerak bebas
kerana tempat duduk yang disediakan agak sempit. Kaki anda juga sentiasa
terjuntai dan tidak dapat diluruskan. Keadaan sebegini tentunya kurang
menyelesakan apatah lagi kebanyakan bas berhenti sekali sahaja sepanjang
perjalanan bagi membolehkan para penumpang berehat.
Penerbangan melalui pesawat
Menaiki pesawat dikatakan tidak selamat bagi wanita hamil
atas alas an faktor logistik. Adalah lebih mudah untuk anda mendapatkan rawatan
doktor pakar di hospital dengan menaiki kenderaan darat berbanding udara
apabila berlaku hal-hal kecemasan.
Apatah lagi, kebanyakan pesawat di mana-mana jua syarikat
penerbangan tidak dilengkapi dengan kelengkapan khusus untuk menyambut
kelahiran bayi. Keadaan akan bertambah buruk andainya berlaku komplikasi atau
kecemasan sewaktu proses kelahiran bayi semasa di udara.
Sekiranya masih perlu menaiki kapal terbang, anda mungkin
memerlukan surat rujukan daripada doktor menyatakan bahawa anda dan kandungan
sihat, dan sesuai untuk melalui perjalanan itu. Bagi memudahkan pergerakan,
anda dinasihatkan memohon tempat duduk yang berdekatan dengan laluan dan
bukannya di tepi tingkap.
Info
Ketika berada di dalam kereta, pastikan anda memakai tali
keledar. Langkah ini penting untuk menyelamatkan nyawa jika berlaku kemalangan.
Jangan risau mengenai isu bayi dalam kandungan dihimpit oleh tali keledar
memandangkan dia dilindungi air ketuban. Air berkenaan adalah mekanisme
perlindungannya.
Pakai tali keledar dengan meletakkan tali itu di bahagian
perut iaitu sebawah yang mungkin. Tali di bahagian dada pula diletakkan di
antara kedua-dua belah payu dara. Dalam pada itu, dinasihatkan agar anda
sentiasa menukar kedudukan tali dari semasa ke semasa supaya ia memberi
keselesaan berpanjangan.
Tip tambahan
1 -Dapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
Ini bagi memastikan anda cergas dan tidak mengantuk serta letih ketika dalam
perjalanan.
2 - Pakai pakaian dan kasut yang selesa.
3 - Bawa bekalan makanan dan minuman mencukupi. Elakkan
daripada mengambil minuman berkarbonat.
4 - Apabila berada dalam keadaan duduk yang agak lama,
letakkan bantal kecil di belakang dan cuba lunjurkan kaki. Keadaan ini boleh
mengurangkan kaki menjadi bengkak dan dalam masa yang sama memperbaiki
peredaran darah. Posisi ini penting bagi anda yang mengalami varicose veins.
5 - Jika melakukan perjalanan jarak jauh dengan menggunakan
kereta, pastikan ia berada dalam keadaan yang baik dan baru diservis.
6 - Rancang perjalanan dan jangan tergesa-gesa di jalan
raya. Berhenti pada bila-bila masa yang diperlukan untuk melakukan senaman
regangan bagi memperbaiki peredaran darah.
Rujukan lain
# http://ratuhati.com/forum/index.php?topic=1781.0
# http://bidanbersalin.blogspot.com/2010/08/perjalanan-jauh-ketika-hamil.html
No comments:
Post a Comment