Sumber:- http://sumijelly.com/2011/03/04/memahami-apa-itu-ujian-cabaran-glukos-gct-mgtt/
Senario :
Kandungan Linda masuk minggu ke-25. Semasa pemeriksaan
kesihatan rutin, dia diminta mengambil Ujian Cabaran Glukos (GCT). Dia
mengambil minuman yang mengandungi 50g glukosa dan sampel darah diperoleh
daripada lengannya sejam kemudian.
Beberapa hari kemudian doktor memaklumkan bahawa paras
glukosa dalam darahnya lebih tinggi dari paras normal. Linda mungkin mengalami
diabetes kehamilan (Gestational Diabetes Mellitus, GDM).
Linda perlu kembali ke klinik untuk mengesahkannya dengan
Ujian Toleransi Glukosa Oral (OGTT). Tiga hari kemudian, selepas berpuasa
selama 8 jam, Linda datang semula ke klinik pada awal pagi.
Dia diberi minuman glukosa yang lebih tinggi kepekatannya
dan sampel darahnya diambil sebelum dan pada setiap jam untuk tempoh dua jam.
Keputusan ujian itu mengesahkan bahawa Linda menghidap GDM.
Linda bingung. Dia sangat prihatin tentang pemakanannya.
“Apakah GDM dan bagaimana ia dapat menjejaskan keadaan saya dan bayi saya?”
Linda berfikir.
GDM
Diabetes Kehamilan atau biasanya dipanggil sebagai GDM merupakan
satu keadaan serius yang berlaku kepada wanita hamil yang sebelum ini tidak
mengetahui ada menghidap diabetes, tetapi kini mempunyai paras glukosa darah
yang lebih tinggi dari paras mereka yang hamil normal.
Paras
glukosa darah selepas berpuasa bagi orang yang tidak menghidapi penyakit
kencing manis adalah di antara 4 dan 6.6 mmol glukosa per liter. Walau
bagaimanapun, paras sehingga 7.8 mmol/L adalah paras yang boleh diterima. Paras
glukosa darah pos-prandial (selepas makan) sehingga 10 mmol/L adalah paras yang
boleh diterima. Paras di bawah 4 mmol/L menunjukkan paras glukosa darah yang
rendah.
Dengan
nilai yang begitu rendah, biasanya simptom hipoglisemia hadir pada orang itu.
GDM biasanya dikesan pada minggu ke 24 hingga minggu ke 28
kehamilan dan berlaku kepada hampir 20 peratus wanita hamil setiap tahun. Jika
tidak dirawat, GDM boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada ibu dan bayi
yang dikandung.
GDM mungkin berlaku kerana anda sudah menghidap diabetes
(paras glukosa darah yang tinggi) sebelum hamil dan ini telah menjadi lebih
nyata akibat stres daripada kehamilan.
Walau bagaimanapun, lebih kurang 90 peratus daripada kes GDM
terjadi apabila badan anda tidak berupaya untuk menggunakan insulin dengan
berkesan (hormon yang dihasilkan oleh pankreas untuk membolehkan glukosa masuk
ke dalam sel-sel badan) ketika kehamilan.
Ini mungkin terjadi disebabkan oleh plasenta (organ yang
membekalkan zat pemakanan kepada bayi melalui tali pusat) mula mengeluarkan
hormon-hormon yang menghalang insulin untuk berfungsi secara berkesan.
Plasenta anda akan membesar pada trimester kedua dan ketiga,
di mana lebih banyak hormon penghalang dikeluarkan dan seterusnya menyebabkan
rintangan yang lebih tinggi terhadap tindakan insulin.
Lazimnya, pankreas anda akan bertindak balas dengan
menghasilkan insulin tambahan untuk menangani rintangan tersebut. Bagaimanapun,
anda mungkin memerlukan lebih tiga kali ganda insulin dari keadaan biasa.
Hasilnya, glukosa yang diserapkan ke dalam sel-sel badan
menjadi terlalu sedikit dan glukosa yang tertinggal di dalam aliran darah pula
meningkat tinggi.
GDM adalah berbahaya
GDM, jika tidak diurus dengan baik boleh membahayakan bayi
anda.
Paras glukosa darah yang tinggi dalam aliran darah anda
boleh memasuki plasenta, dan menyebabkan bayi anda juga mengalami paras glukosa
darah yang tinggi.
Oleh kerana itu, pankreas bayi anda turut bertindak
menghasilkan insulin tambahan untuk merendahkan paras glukosa darah yang
tinggi.
Bayi akan mendapat tenaga (dalam bentuk glukosa) yang
berlebihan dari yang diperlukannya, dan tenaga lebihan ini akan tersimpan
sebagai lemak badan yang akan menyebabkan makrosomia (didefinisikan sebagai
bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih).
Jika bayi anda mengalami makrosomia, dia berkemungkinan akan
menghadapi masalah kesihatan yang serius seperti kecederaan di bahu semasa
kelahiran.
Walaupun tidak mempunyai makrosomia yang nyata, bayi anda
mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia) selepas
dilahirkan, masalah pernafasan dan penyakit kuning (jaundis) yang berlarutan.
Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap
diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.
GDM juga boleh mendatangkan masalah kepada ibu. Dalam
kebanyakan kes, jika bayi anda besar, anda akan mengalami kerumitan ketika
melahirkan bayi dan anda mungkin perlu menjalani pembedahan caesarean.
Anda juga berisiko tinggi mendapat praeklampsia (berkait
dengan peningkatan tekanan darah yang tinggi yang boleh menjadi serius,
sehingga membahayakan keadaan bayi dan diri anda) semasa kehamilan.
Anda juga lebih mudah untuk mendapat GDM lagi semasa
kehamilan akan datang. Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat,
wanita yang pernah mengalami GDM mempunyai 20 hingga 50 peratus kemungkinan
untuk mendapat diabetes jenis 2 dalam tempoh 5 hingga 10 tahun selepas
kehamilan.
Walau bagaimanapun, ini boleh dicegah – seperti yang telah
dibuktikan dalam beberapa kajian ternama yang menunjukkan bahawa pengubahsuaian
gaya hidup sahaja atau dengan penambahan ubat-ubatan oleh individu yang
berisiko tinggi (termasuk wanita yang menghidap GDM) dapat mengurangkan
sehingga 58 peratus risiko menghidap diabetes jenis 2.
Merawat GDM
Bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana GDM boleh diurus
dan dirawat.
Rawatan untuk GDM termasuklah mengambil langkah-langkah
untuk memastikan paras glukosa darah anda sentiasa berada di paras normal
ketika mengandung.
Doktor akan menasihatkan anda supaya mengikuti pelan
pemakanan yang sesuai dan juga meningkatkan aktiviti fizikal supaya paras
glukosa darah yang tinggi dapat dikurangkan.
Anda juga perlu memantau paras glukosa darah anda dengan
kerap (secara ideal, 4 hingga 6 kali sehari) bagi memastikan paras glukosa
darah sentiasa berada di tahap yang normal.
Sesetengah wanita yang menghidap GDM mungkin memerlukan
suntikan insulin, selain daripada amalan pemakanan sihat dan bergiat aktif
dalam aktiviti fizikal, untuk mencapai paras glukosa darah yang disarankan.
Ubat antidiabetik secara amnya tidak disarankan ketika
mengandung. Tetapi, terdapat kajian-kajian terkini yang menunjukkan bahawa
sesetengah agen hipoglisemik oral (OHA) adalah selamat untuk digunakan ketika
hamil.
Doktor mungkin mempreskripsikan salah satu ubat-ubatan ini
jika peningkatan paras glukosa darah anda tidak terlalu tinggi.
Berita baiknya, pemantauan paras glukosa darah yang kerap di
samping mengamalkan diet sihat dan kerap bersenam adalah sudah cukup untuk
mengawal GDM anda sekali gus dapat mengurangkan risiko terhadap anda dan bayi.
Selepas bayi anda dilahirkan dan hormon plasenta sudah tidak
lagi mengalir dalam badan anda, paras glukosa dalam darah anda biasanya akan
kembali ke paras normal (melainkan jika paras glukosa anda sememangnya sudah
tinggi, tetapi tidak disedari, sebelum hamil).
Oleh itu, anda tidak perlu berasa terlalu bimbang terhadap
keadaan ini, namun begitu, anda perlu menjaga diri dengan baik dan nikmatilah
kehamilan.
Adakah anda berisiko?
Anda berisiko tinggi menghidap GDM jika:
# Berumur 25 tahun atau
lebih
# Ahli keluarga
terdekat seperti ibu bapa atau adik-beradik, menghidap diabetes jenis 2
# Anda menghidap GDM
ketika kehamilan yang lalu
# Anda mempunyai berat
badan yang berlebihan sebelum anda hamil
# Anda pernah
melahirkan bayi yang mati dalam kandungan atau melahirkan bayi yang mempunyai
berat lebih 4kg ketika kehamilan terdahulu.
Doktor akan menjalankan ujian cabaran glukosa ke atas anda
untuk mengesan GDM sama ada semasa lawatan pertama jika anda berisiko tinggi
atau pada minggu ke 24 hingga 28 kehamilan, jika risiko anda tidak begitu
tinggi.
Anda akan diberikan minuman berglukosa dan selepas itu
(biasanya sejam kemudian), sampel darah akan diambil untuk menentukan paras
glukosa darah.
Bacaan di bawah 7.8 mmol/L biasanya dianggap normal untuk
ujian cabaran glukosa ini tetapi doktor mungkin akan mengulangi ujian tersebut
jika anda berisiko tinggi.
Jika paras glukosa darah anda tidak dalam lingkungan normal,
anda akan dikehendaki mengambil OGTT untuk mengesahkan sama ada anda menghidapi
GDM.
Rujukan Lain :
# http://leenirdina.blogspot.com/2012/02/diabetes-semasa-mengandung-gdm-on-diet.html
# http://fiezaliesa.blogspot.com/2011/11/apa-itu-gdm.html
# http://www.slideworld.org/slideshow.aspx/Kencing-Manis-Semasa-Mengandung-ppt-2846588
perkongsian yang menarik. thanks admin. :)
ReplyDeleteAlhamdulillah... Info yang elok sesuai untuk perkongsian...
DeletePerkongsian yang bermanfaat..Mohon share beberapa info dri sini, nak masuk dalam entri blog saya yer..Terima kasih dan salam perkenalan..^_^
ReplyDeletehttp://nurkids2u.blogspot.com/
Apa yang ada untuk dikongsi... Terima kasih kerana mengunjungi blog saya. Salam perkenalan juga.. :)
ReplyDelete