Amalan-amalan
ini menjadi sebab Allah S.W.T. melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan
rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan
konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah S.W.T. memberi jalan buat setiap
hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi
punca kebaikan dunia dan akhirat.
Di
antaranya:
01 - Menyempatkan diri beribadah
Allah S.W.T.
tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis
qudsi:
“Wahai anak
Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan
menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu
dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” – (Riwayat Ahmad, Tirmizi,
Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
02 - Memperbanyakkan istighfar
Istighfar
adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah S.W.T., yang
menjadi sebab Allah S.W.T. jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia
berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi S.A.W.:
“Barang
siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T. akan menghapuskan segala
kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah
yang tidak disangka.” – (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan
al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a)
03 - Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar
tidak laku di sisi Allah S.W.T.jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat
hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi S.A.W.:
“… dan
seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” – (Riwayat
at-Tirmizi)
04 - Sentiasa ingat Allah S.W.T.
Banyak ingat
Allah S.W.T. buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang
hanya Allah S.W.T.beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu)
orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah
S.W.T.. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah S.W.T.hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra'd:
28)
05 - Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat
Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan
ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali
kekeluargaan. Baginda S.A.W. juga bersabda:
“Siapa
berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah S.W.T.akan
memanjangkan umurnya.” – (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan
al-Hakim)
Mendoakan
ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.:
“Apabila
hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah
rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya.” – (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
06 - Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik
kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang
sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
Sabda Nabi S.A.W.:
“Tidaklah
kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di
kalangan kamu.” – (Riwayat Bukhari)
07 - Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan
hajat orang menjadi sebab Allah S.W.T. lapangkan rezeki dalam bentuk
tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.:
“Siapa yang
menunaikan hajat saudaranya maka Allah S.W.T.akan menunaikan hajatnya” – (Riwayat
Muslim)
08 - Banyak berselawat
Ada hadis
yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana
selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta
meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
09 - Banyakkan berbuat kebajikan
Ibnu Abbas
berkata:
“Sesungguhnya
kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan
disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan
rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain
mengutuknya.”
10 - Berpagi-pagi
Menurut
Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai
solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11 - Menjalinkan silaturrahim
Nabi S.A.W.
bersabda:
“Barang
siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia
menghubungi sanak-saudaranya.” – (Riwayat Bukhari)
12 - Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab
desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara
termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T.. Baginda S.A.W. bersabda:
“Sentiasalah
berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah S.W.T. akan memurahkan
rezeki.” – (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13 - Bersedekah
Sedekah
mengundang rahmat Allah S.W.T. dan menjadi sebab Allah S.W.T. buka pintu
rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair,
ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh
Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang
membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah S.W.T. membanyakkan
baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah S.W.T. menyedikitkan
baginya.” – (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14 - Melazimi solat malam (tahajjud)
Ada
keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi
sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah
S.W.T..
15 - Melazimi solat Dhuha
Amalan solat
Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti
harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis
qudsi:
“Wahai anak
Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu
permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada
petang harinya.” – (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16 - Bersyukur kepada Allah S.W.T.
Syukur
ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T.. Lawannya adalah
kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman:
“Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan
demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” – (Ibrahim:
7)
Firman-Nya
lagi:
“… dan Kami
akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” – (Ali Imran: 145)
17 - Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran
tertentu
Zikir dari
ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan
melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya
pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan
rezeki.
Misalnya,
dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten
tujuh kali setiap kali lepas solat, Insya-Allah dikatakan boleh menjadi sebab
Allah S.W.T. melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki.
Selain itu,
salah satu nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat
menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu. Contohnya dibaca
“Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah S.W.T., bukalah
hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah
ya ‘Alim.”
Ada juga
hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak
akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18 - Berdoa
Berdoa
menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T., penuh bergantung dan
mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T.
menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19 - Berikhtiar sehabisnya
Siapa yang
berusaha, dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi sunnatullah. Dalam satu hadis
sahih dikatakan bahawa Allah S.W.T. memberikan dunia kepada orang yang
dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah S.W.T. beri
kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. – (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan
al-Hakim)
Bagi orang
beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah
rezeki dalam skop yang luas.
Misalnya,
jika hendak tenang dibacanya Quran, jika hendak mendapat anak yang baik
dididiknya sejak anak itu di dalam rahim lagi, jika hendak sihat dijaganya
pemakanan dan makan makanan yang baik serta halal, jika hendak dapat jiran yang
baik dia sendiri berusaha menjadi baik, jika hendak rezeki berkat dijauhinya yang
haram, dan sebagainya.
20 - Bertawakal
Dengan
tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah S.W.T. seperti
firman-Nya:
“Barang
siapa bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah S.W.T. mencukupkan
(keperluannya).” – (At-Talaq: 3)
Nabi S.A.W.
bersabda:
“Seandainya
kamu bertawakal kepada Allah S.W.T.dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu
diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari
telah kenyang.” – (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim
dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang
disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa.
Dengan
takwa, Allah S.W.T. akan memberi “… jalan keluar (dari segala perkara yang
menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di
hatinya.” – (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata,
bagi orang Islam.. untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenar, kuncinya
adalah dengan melaksanakan amalan-amalan takwa.
Amalan-amalan
ini akan menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah S.W.T., lalu Allah S.W.T.
pasti melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan
pemberian-Nya. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment