PASANGAN adalah ‘sahabat’ kita yang paling rapat dan
setia. Tak kira waktu suka, duka, pasangan kita pasti akan sentiasa berada di
sisi.
Tapi seringkali kita menganggap pasangan sebagai orang
terakhir yang perlu dijaga hatinya kerana mereka pasti akan menerima kita
seadanya.
Ada yang mengambil mudah dari segi percakapan dan tidak
menghormati pasangan sebagai mana mereka menghormati orang lain.
Dari segi penampilan pula, ramai yang mengambil
kesempatan dengan tidak menjaga diri atau paras rupa kerana mereka tahu
hakikatnya mereka sudah mempunyai pasangan yang akan menerima mereka walau apa
pun yang terjadi.
Kalau ada yang beranggapan begitu pastikan anda ubah
tanggapan tersebut kerana pasangan kitalah orang yang paling perlu dijaga dan
hormati. Kita juga perlu tampil menarik untuk pasangan dan bukan untuk orang
lain.
Penulis berminat untuk berkongsi satu ungkapan daripada
tokoh motivasi tersohor negara, Dato’
Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, ujarnya; “Jika mahu diri disayangi,
beri kasih sayang kepada orang dahulu”. Maksud lain yang dapat penulis
simpulkan di sini ialah, jika kita mahu dihargai pasangan, maka kita harus
memberikan yang terbaik kepada mereka barulah kita akan mendapat kebaikan yang
sama juga.
Sesuai dengan topik kita cantik luaran dan dalaman,
antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah berhemah apabila berbicara,
tampil dengan rupa yang menarik dan bersih serta menjaga hati pasangan dengan
baik.
Bagi yang mahu berubah namun tidak tahu caranya,
panduan di bawah mungkin boleh membantu.
Pertama: Paling penting
dalam perhubungan ialah komunikasi yang baik.
Seringkali kita mengabaikan komunikasi yang baik dengan
pasangan. Kata ganti nama diri seperti aku dan kau digunakan dalam perbualan harian,
padahal lebih molek jika panggilan seperti ‘sayang’ atau ‘abang’ digunakan
kerana itu boleh memupuk kemesraan.
Seperti persahabatan, pasangan yang baik perlu
komunikasi yang jujur. Perlu bersedia untuk memberi pandangan, nasihat
menasihati bila keadaan memerlukan. Jika salah seorang ingin meluahkan masalah,
seorang lain perlu mendengar dengan baik.
Jangan pula cuba masuk campur dalam urusan pekerjaan
dan keluarga jika tidak diminta. Jika ada yang berkecil hati, pastikan
disuarakan dengan baik untuk mengelakkan salah faham yang lebih buruk.
Kedua: Anda dikehendaki
menjadi pendengar yang setia. Bila pasangan anda dilanda masalah sebagai contoh
di tempat kerja, bersedialah untuk menjadi pendengar dan jangan sesekali
mengadili pasangan anda itu walaupun sebenarnya anda tahu bahawa dia yang punca
masalah itu.
Apa yang perlu ialah dengar dan beri nasihat secara
umum sahaja.
Ketiga: Memastikan bahawa
anda tidak bertepuk sebelah tangan. Maknanya bukan anda sahaja yang menganggap
pasangan anda itu perlu dihormati, malah dia juga perlu menghormati anda.
Jika ada sahabat lain yang mengutuk pasangan anda di
belakangnya, andalah orangnya yang penuh yakin untuk menjadi pembela pasangan
anda itu.
Tetapi jika memang pasangan anda melakukan kesalahan,
terus-teranglah bahawa anda tidak selesa dia melakukan begitu, pilih perkataan
yang sesuai untuk menegur dan tegurlah dengan berhati-hati agar tidak
mengecilkan hatinya.
Seringkali kita mendengar rakan kita mengomel tentang
bentuk tubuhnya yang semakin berisi dari hari ke hari.
Perkara yang amat lazim terjadi kepada wanita itu
seperti lumrah terutama selepas melahirkan anak.
Memang ia amat merisaukan namun apa yang penting selain
kerisauan itu ialah tindakan segera yang perlu diambil bagi menangani masalah
tersebut.
Keempat: Laburlah sedikit
wang untuk penampilan anda, tak kira sama ada untuk menguruskan badan,
mencantikkan kulit, berbaju baru dan sebagainya semuanya ada harga yang perlu
dibayar.
Namun percayalah ia adalah satu pelaburan yang baik
demi perhubungan anda. Tapi tidak kira sama ada anda lelaki atau perempuan
perlulah sama-sama mengambil berat tentang penampilan anda.
Kebersihan harus dijaga dan perlu amalkan disiplin
diri. Pilihlah pakaian yang kemas dan pastikan anda melakukannya ikhlas untuk
pasangan anda.
Jangan bila hendak ke kenduri atau berhari raya baru
hendak bergaya. Sepatutnya bergayalah di rumah kerana ada mata dan perasaan
yang lebih penting untuk dijaga.
salam kenal.
ReplyDeleteTerima kasih kerana berkongsi di sini.
Ya, salam kembali... ya, info yang baik elok dikongsi...
ReplyDelete