Sekarang zaman semakin berubah, tekanan dan stress
boleh kita alami di mana2 sana. Tak kira disebabkan oleh masalah kerja mahupun
family, keadaan kehidupan sekarang juga menekan hidup kita.
Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali
kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan
Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan
Allah.
Terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan bertujuan
bagi mengurangkan tekanan :-
Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri
mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi
senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar
membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang
dibaca akan mudah dingati.
Perbanyakkan membaca Al-Quran
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa
yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk
membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti
ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman
paling akrab pada sepanjang waktu.
Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita
disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan
solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah
antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada
sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh
ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain
daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa
dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam
Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu
azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang
benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak
akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.Maka kita perlulah
berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas
daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian
daripada Allah bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu,
kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika
terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada
hikmah di sebalik kejadian itu.
Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas
akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan
apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh
badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita
meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan
bertambah erat dan kukuh.
Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang
juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk
mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet
yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik
yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.
Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu
yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa
ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan
tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati
lain" ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan,
mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh,
mereka akan sentiasa gembira bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam
hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah, menangis dilihat
sebagai salah satu cara kita dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat
kerja.
Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin
diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai
masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu
bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah
dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti
menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.
Cintai diri sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu
mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita
dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu
berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam
pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu
memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.
No comments:
Post a Comment