Setiap manusia akan diuji dengan ujian.... Cuma ujian yang diterima adalah berbeza... Jadi terimalah ujian itu dengan redha dan ikhlas...
Setiap individu akan diuji dengan kegagalan,
kekecewaan, kemiskinanatau kesakitan. Malah kebahagiaan, kemewahan, dan
kecantikan juga antara ujian buat mereka.
Hakikatnya, manusia diuji dengan cara berbeza-beza bagi
menilai rasa kehambaan kepada Penciptanya. Allah SWT berfirman yang
bermaksud:
“Katakanlah: Tidak sesekali-kali akan
menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang ditetapkan Allah bagi kami.
Dialah pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah
jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Tawbah ayat
51).
Sebab itu, apabila ditimpa ujian, kita perlu pasrah
dengan apa yang berlaku malah tidak sesekali mempersoalkannya. Umat Islam
juga diajar supaya mengucapkan kalimah istirja’ iaitu ‘Inna lillah wa inna ilaihi
raji’un’ apabila ditimpa ujian.
Maksudnya, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa
musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah SWT dan kepada-Nya
kami kembali.
Tidak terlepas dalam masyarakat kita, ada mempercayai
musibah yang berlaku datangnya daripada sial, badi atau nasib malang.
Contohnya, mengaitkan musibah yang berlaku seperti
perniagaan merudum, bankrap atau ditimpa bencana berpunca daripada sial
yang dibawa oleh anak.
Berpegang kepada kepercayaan itu, ada yang sanggup
membunuh, mencederakan serta menyisihkan anak yang tidak berdosa itu. Jika
begitulah tahap pemikirannya, jelas mereka terbabit dengan kepercayaan
karut lagi menyesatkan.
Mereka tidak tahu bersyukur dan menghargai ‘harta’ yang
cukup bernilai itu. Sekiranya umat Islam faham dengan konsep qada’ dan
qadar Allah, mereka tidak akan merasa kecewa, sebaliknya bersangka baik
dengan Allah dan bersedia mengharungi dugaan itu dengan penuh reda.
Anak adalah anugerah Allah yang cukup berharga kepada
ibu bapa. Mereka juga amanah untuk dipelihara dengan sempurna termasuk
memastikan keselamatannya di dunia dan akhirat.
Kekuasaan Allah SWT dalam menentukan sesuatu perkara
bersifat mutlak.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan apabila Dia berkehendak (untuk
menjadikan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya:
‘Jadilah’. Lalu jadilah ia.” (Surah al-Baqarah, ayat 117).
Apabila memilih untuk ‘menentang’ takdir ternyata kita
tidak dapat menerima hakikat kehidupan sebenar malah memilih untuk
memberontak serta mempersoalkan.
Bagi yang sudah dikurniakan zuriat sendiri, peliharalah
anak itu dengan sebaiknya. Berdoalah supaya anak itu kelak menjadi soleh
dan solehah. Anak tidak membawa sebarang dosa yang diwarisi daripada kedua
ibu bapanya.
“Anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih
yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda
yang maksudnya:
“Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan
dalam keadaan fitrah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Hadis itu menjelaskan bayi yang dilahirkan suci
daripada sebarang dosa dan kesalahan. Jadi, salah sekali bagi mereka yang
berpendapat anak kecil yang baru dilahirkan, membawa sial atau malapetaka
kepada keluarganya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Bahawa sesungguhnya seseorang yang
boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa
usahanya sahaja).” (Surah al-Najm, ayat 38).
Pemahaman karut mengenai sial yang dibawa seorang anak
adalah antara pemahaman golongan Arab Jahiliah sebelum kedatangan Islam.
“Golongan ini berpendapat anak perempuan yang baru
dilahirkan akan mendatangkan keaiban dan malapetaka terhadap keluarga
mereka. Maka, mereka akan menanam bayi perempuan itu hidup-hidup.
“Hal ini dirakamkan Allah SWT dalam al-Quran yang
bermaksud:
“Sekiranya salah seorang diberitahu
kelahiran anak perempuan, mukanya menjadi merah kerana terlalu marah dan
mereka menyembunyikan diri daripada kaumnya kerana keburukan daripada
berita yang disampaikan. Apakah patut dipeliharanya dengan rasa malu atau
ditanam dalam tanah. Alangkah buruknya apa yang mereka putuskan”. (Surah
al-Nahl, ayat 58-59).
“Terdapat juga di kalangan ibu bapa yang merasa khuatir
tidak dapat menyara kehidupan anak mereka, lantas membunuh anak yang tidak
berdosa itu,” katanya.
Urusan rezeki adalah ketetapan dan tidak wajar manusia
merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan bagi membesarkan zuriat mereka.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak
kamu kerana takutkan kepapaan; Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka
dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu
kesalahan yang besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31).
“Berdasarkan dalil itu, pendapat sesetengah daripada
masyarakat kita mengenai sial yang datangnya dari anak adalah tidak benar
sama sekali.
Sebaliknya, kita perlu faham kelahiran zuriat adalah
rahmat bagi sesebuah keluarga. Cukup besar ganjaran yang Allah kurniakan
bagi mereka yang berjaya memikul amanah itu dengan penuh ikhlas dan
bertanggungjawab.
Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan ketahuilah bahawa harta benda
kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah
jugalah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28).
Masih terdapat banyak amalan karut berkaitan kelahiran
bayi yang masih diamalkan masyarakat Melayu hari ini.
“Kepercayaan itu boleh merosakkan akidah mereka.
Contohnya, adat ‘kirim perut’ yang dilakukan kepada wanita yang mengandung
anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan
bulan.
“Ia dilakukan bidan bagi membuang sial atau kecelakaan
yang mungkin menimpa wanita hamil selain membetulkan kedudukan bayi di
dalam perut.
“Selepas kelahiran, terdapat adat yang dipanggil ‘turun
tanah’ yang diraikan bagi anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah
bermakna anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang
meneruskan kehidupannya.
“Tidak kurang juga bayi yang dipakaikan tangkal kuning
atau hitam di pinggangnya bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Semua
amalan itu tidak disyariatkan Islam malah perlu ditinggalkan kerana boleh
membawa kepada syirik.
Ingatlah, dosa syirik adalah dosa besar yang tidak
diampunkan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment