Sebagai wanita muslim, kita sering dilanda persoalan tentang ini terutama ketika sedang berhadas. Rasanya info ini amat berguna untuk di kongsi dan menjawab segala persoalan yang bermain di minda wanita-wanita di luar sana tentang memotong kuku semasa sedang haid atau nifas.
HUKUM POTONG KUKU SEMASA HADAS BESAR
Soalan:
Ustazah, apakah benar
seseorang yang datang haid atau berhadas besar (berjunub) tidak boleh potong
kuku atau gunting rambut?
Saya mendengar seorang ahli
agama berkata, jika berbuat juga anggota itu akan datang di akhirat kelak dlm
keadaan kotor jika tidak dimandikan kemudiannya. Apakah terdapat dalil-dalil
yang demikian itu?
Jawapan:
Soalan ini selalu ditanya
pada guru-guru agama dan sudah dijawab dengan jelas sekali. Namun saya cuba
menjelaskan sekali lagi dalam ruangan ini. Semoga Allah Taala menguatkan iman
kita untuk beramal dengan yakin selepas ini tanpa mempersoalkan hukum-hukum
ranting ini kerana banyak lagi perkara asas yang belum kita ketahui.
Dalam surah al-Baqarah ayat
222, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu
(Muhammad) tentang haid. Katakanlah ia adalah suatu yang kotor. Kerana itu
jauhilah (jangan menggauli) isteri pada waktu haid...”
Dalam buku ‘al-Fiqh 'Ala
al-Mazahib al-Arba'ah (Fekah menurut Keempat Mazhab) mengemukakan: “Yang haram
bagi seorang yang sedang dalam keadaan junub (termasuk datang bulan) untuk dia
kerjakan adalah amalan-amalan keagamaan yang bersyarat dengan adanya wuduk
seperti solat sunat dan wajib.”
Justeru, kita mengetahui
tidak disyaratkan adanya wuduk untuk memotong rambut atau kuku. Dengan
penjelasan di atas, dapat difahami bahawa tidak ada larangan (dalam erti kata
haram) untuk membuang rambut yang gugur dan memotong kuku seperti mana yang
saudari tanyakan.
Mungkin orang yang melarang
itu menduga bahawa badan manusia menjadi najis ketika ia dalam keadaan junub.
Dugaan ini agak mengelirukan. Nabi SAW tidak mewajibkan orang yang berjunub,
termasuk yang datang bulan untuk segera mandi. Ia diwajibkan mandi, ketika
hendak solat atau membaca al-Quran. Bahkan ada sebuah riwayat yang menyatakan
bahawa Nabi SAW pernah berdiri untuk solat berjemaah, tiba-tiba Baginda
teringat bahawa Baginda belum mandi dan segera pergi mandi kemudian
melaksanakan solat. Demikianlah yang diriwayatkan oleh keenam perawi hadis yang
utama (kecuali Imam al-Tirmizi) melalui sahabat Nabi, Abu Hurairah.
Boleh jadi juga, pandangan
itu diambil daripada kefahaman hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu
Daud melalui Ali bin Abi Talib yang menyatakan, “Sesiapa yang mengabaikan satu
bahagian dari tempat tumbuhnya rambut ketika mandi junub sehingga tidak terkena
air, maka Allah akan memperlakukan begini dan begini di neraka.”
Riwayat ini di samping
memiliki kelemahan dalam sanadnya, juga tidak menyebut mengenai rambut yang
dipotong. Pada hemat saya, pandangan yang seperti saudari tanyakan itu sangat
menyulitkan, sedangkan agama memberikan kemudahan-kemudahan termasuk dalam
persoalan mandi wajib.
Sekiranya hukum memotong
kuku atau menggunting rambut tidak haram, adakah larangan tersebut bermaksud
makruh?
Terdapat ulamak memakruhkan
kita memotong kuku, mencukur/menggunting bulu dan rambut, membuang darah
(berbekam) dan seumpamanya semasa sedang berjunub dan semasa haid dan nifas.
Mereka ialah Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulamak dari
mazhab Hanbali). Berkata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin; “Tidak
sepatutnya seseorang mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya
serta membuang sesuatu dari badannya pada ketika ia sedang berjunub kerana
seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu
ia akan kembali berjunub.[1] Dikatakan bahawa; setiap bulu (yang dicukurnya
ketika berjunub itu) akan menuntut dari tuannya dengan sebab junub yang ada
padanya (kerana dicukur ketika sedang berjunub)” (Dinaqalkan dari kitab
al-Iqna’, jil. 1, hlm. 91).
Mereka berdalilkan hadis
yang dikatakan dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;
لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر
لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر
“Janganlah sesiapa memotong
kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci” (Riwayat al-Ismaili dari
Saidina ‘Ali r.a.)
Namun jumhur ulamak tidak
bersetuju dengan pandangan tersebut. Menurut mereka; tidak ada dalil dari Nabi
s.a.w. yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari
melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. Adapun hadis di atas, ia adalah
munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah
(lihat; Syarah Sohih al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab).
Berkata Imam ‘Atha’
(seorang Tabi’in terkenal); “Harus orang yang berjunub untuk berbekam, memotong
kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih
dahulu”(Riwayat Imam al-Bukhari). Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan hukum
orang berjunub yang berbekam (yakni mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur
rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, ia menjawab; “Tidak
mengapa (yakni harus)”.
Syeikh Atiyah Saqar dalam
fatwanya juga menegaskan; pendapat Imam al-Ghazali itu tidak ada sebarang dalil
untuk menyokongnya. Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu
Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang
memakruhkan membuang rambut dan kuku oleh orang berjunub. Malah Nabi s.a.w. ada
bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;
ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن
ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن
“Buangkanlah darimu
rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir),
kemudian berkhatanlah” (HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib r.a.
Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).
Di dalam hadis di atas Nabi
s.a.w. hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan
membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia
melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan
berkhitan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.
Dalam buku al-Fiqh
al-Islami wa Adillatuh, az-Zuhaili menulis, “Tidak makruh dalam pandangan mazhab
Hambali bagi seseorang yang junub, atau dalam keadaan haid, atau nifas
menggunting rambutnya, kukunya sebelum mandi.”
Pada hemat saya, pada hari
kemudian, walaupun manusia dibangkitkan secara jasmani, tetapi tubuh kita bukan
lagi sebagaimana keadaannya dalam kehidupan dunia.
Al-Quran menyatakan bahawa
wanita-wanita penghuni syurga (yang tua sekalipun) akan dijadikan Allah SWT
sebagai gadis-gadis remaja, penuh cinta dan sebaya dengan suami-suami mereka.
No comments:
Post a Comment