Assalamualaikum... Mana yang patut kita dahulukan, Puada ganti (Qadha), atau Syawal atau digabungkan?
Hukum Menggabungkan Puasa Qadha
dan Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal.
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian
dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa
sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].
Hadis sahih ini
menunjukkan betapa besarnya ganjaran pahala kepada sesiapa yang berpuasa sunat
enam hari di bulan syawal.
Telah menjadi
kebiasaan bagi sesetengah orang terutamanya wanita, iaitu kecenderungan untuk
menggabungkan puasa sunat enam syawal dengan puasa qadha, atau dengan istilah
lebih mudah, puasa 2 dalam 1. Persoalannya, adakah amalan ini
direstui oleh syarak atau sekadar pandangan segelintir ulama yang kemudiannya
menjadi kebiasaan yang diterima pakai.
Bicara ini
hanyalah lanjutan hujah daripada beberapa orang tokoh agama Tanah Air, saya
sekadar melebarluaskan pandangan mereka dengan menggunakan bahasa dan pendekatan
tersendiri. Untuk memudahkan sahabat melakukan rujukan, akan saya sertakan link
mereka nanti. Antara mereka yang saya maksudkan ialah Prof Dr Mahmud Zuhdi,seorang Pensyarah Akademi Pengajian
Islam UM, Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, bekas Pensyarah Akademi Pengajian
Islam UM, juga penulis Tafsir Pimpinan Muttaqin, Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa
Sultan Ismail Petra Kelantan (KIAS) dan juga Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai
Durian, Kuala Krai, Kelantan., Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
at-Takiri , bekas pensyarah di Jabatan Pengajian
Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM, dan sekarang ini
diamanahkan sebagai Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat.
Terus kepada
tajuk, mengenai hal ini, ulama sebenarnya berbeza pendapat. Ada yang
berpendapat, Ia boleh dilakukan dan ada juga ulama yang berpandangan
sebaliknya, iaitu tidak boleh digabungkan antara puasa sunat syawal dengan
puasa qadha.
Tentang
pandangan ulama yang mengharuskan, sahabat boleh langsung merujuk artikel yang
ditulis oleh Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor (http://www.drhayei.com/2010/07/puasa-sunat-dalam-bulan-syawa.html). Cuma, secara ringkas, ulama yang
berpandangan sebegini merumuskan, apa sahaja puasa yang dilakukan dalam
bulan syawal(sama ada qadha, nazar atau apa sahaja), dianggap memenuhi kehendak
puasa enam hari di bulan tersebut. Jadi pahala puasa sunat syawal akan
diperolehi secara automatik apabila seseorang melakukan puasa qadha dalam bulan
syawal, sama ada dia niat atau tidak diniatkan puasa sunat itu.
Tentang
persoalan niat pula, mereka berhujah bersandarkan dalil yang umum tentang niat,
iaitu “Amalan-amalan itu hanyalah berdasarkan niat-niat. Dan setiap orang
mendapat hanya apa yang diniatkan.” (Hadis riwayat Bukhari no1 dan Muslim no
3530)
Bentuk
pengambilan dalilnya ialah: orang yang berpuasa tadi berniat kedua-duanya.
Justeru, terhasillah pahala bagi kedua-duanya.
Namun, menurut
kebanyakan ulama, niat puasa yang mengabungkan antara Qadha dan puasa sunat
Syawal hanya menjadikan ia sah untuk puasa qadha sahaja. Menurut Ibn Hazim pula
kedua-duanya tidak sah. Hujah mereka ialah kerana kedua-dua ibadah tersebut
merupakan ibadah yang dimaksudkan dan menjadi matlamat secara tersendiri. (Ibn
Rajab al-Hanbali, al-Qawa`id, hlm. 24).
Matlamat Puasa
Qada Ramadhan adalah kerana meninggalkan puasa Ramadhan. Matlamat Puasa enam
Syawal pula adalah ekoran daripada puasa wajib Ramadhan. Lebih lanjut tentang
penjelasan ini, langsung sahaja membaca artikel yang ditulis oleh Dr Mohd Khairuddin
Aman Razali at-Takiri.
Menurut Dr.
Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, yang juga dikenali sebagai Abu Anas Madani,
pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini tidak bersandarkan
mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Sila rujuk artikel beliau atau
langsung ke web site Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra Kelantan (http://www.kias.edu.my/sfo-puasa6.htm)
Secara peribadi
saya amat tertarik dengan hujah yang diblontarkan oleh Prof Dr Mahmud Zuhdi.
Beliau juga tidak menerima atau tidak mengharuskan amalan puasa dua dalam satu
ini. Prof Dr Mahmud Zuhdi menegaskan amalan mengabungkan puasa qadha
dengan puasa sunat enam syawal ini bercanggah dengan hadis yang bermaksud “Sesiapa yang berpuasa
Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka
seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Umum mengetahui, MENGIRINGI membawa maksud berasingan dan bukannya digabungkan. Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa
Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari
dari bulan Syawal”. Ini
menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu
menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu
diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam
Syawal.
Kata Prof Dr
Mahmud Zuhdi lagi, ia ibarat seseorang yang ingin membayar hutang, namun dalam
masa sama, duit itu ingin disedekahkan kepada orang memberi hutang kepadanya.
Tentu sekali tidak dapat diterima, sebab hutang wajib dilunaskan manakala
sedekah pula hanyalah amalan sunat.
Kesimpulannya,
eloklah dilaksanakan secara berasingan meskipun ada pendapat yang mengatakan ia
boleh disatukan. Ambil jalan selamat di sebalik khilaf ulama. Selesaikan dahulu
puasa ganti yang bertaraf wajib, kemudian barulah kita kejar puasa enam syawal
yang bertaraf sunat. Segunung ibadat sunat tetap tidak mampu menandingi ibadat
wajib. Jutaan solat sunat yang dilakukan tetap tidak bererti andainya solat
fardhu tidak dilaksanakan. Segunung sedekah tiada maknanya andainya zakat
diabaikan.
Saya berminat
sekali untuk perturunkan nasihat yang titipkan oleh Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul
Rahman
“Sempurnakan
dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan
kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa
hadapan.Bagi
orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib
diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya.
Sebagaimana sabda Nabi saw:
Maksudnya:
“Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan
amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan
yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih
Al-Bukhari no. 2834]”
Rujukan Lain: