Permata Buat Suamiku | iluvislam.com discover the beauty of islam
Kha, 27 Jan 2011 21:30 | Khairunnisa' Mohammad | Editor: salma ahsanan
"Sudah lima tahun
Man, lima tahun! Sudah lama benar kau kahwin dengan perempuan itu! Jangankan
tiga, seorang cucu pun Mak tak dapat lagi!"
Datin Syuhada sudah
tidak dapat bersabar lagi. Sikap acuh tidak acuh Azman benar-benar membuatkan
dia naik darah. Ini bukan kali pertama Datin Syuhada naik angin. Sudah hampir
seratus kali agaknya Azman mendengar bebelan yang sama setiap kali dia datang
menemui ibunya itu.
"Dulu Mak dah
cakap. Jangan kahwin dengan perempuan itu. Dia tu mandul! Tengok muka dia pun
Mak dah tahu dia tu tak sihat. Tapi kau tak pernah nak dengar cakap Mak. Kau
kahwin juga dengan dia. Sekarang kau terimalah padah akibat ingkar kata-kata
Mak. Orang lain baru dua tahun kahwin pun dah ada dua orang anak, engkau ni dah
lima tahun kahwin, seorang anak pun tak ada!"
Datin Syuhada
terus-menerus melayan amarahnya. Betapa emosinya pada waktu itu dikuasai oleh
syaitan laknatullah yang ligat menghembuskan hasutan dan kata-kata keji ke
dalam hati wanita berusia separuh abad itu.
" Rezeki tu di
tangan Allah Mak. Mungkin belum sampai waktunya lagi. Kalau Man sebagai suami
boleh bersabar, mengapa Mak tak boleh? Susah sangat ke, Mak?", sedih Azman apabila terpaksa bertelagah dengan ibunya
setiap kali mereka bersua muka.
Bukan senang
untuknya mencuri masa bertemu dengan ibunya. Namun, setiap kali ada peluang
bertemu, pasti isu zuriat yang akan dibangkitkan. Kadangkala Azman terfikir,
andai saja ayahnya masih ada, pasti ibunya tidak akan bersikap sebegitu.
Pemergian Datuk
Rosmi telah membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Terutama sekali
terhadap ibunya. Ibunya kini bukan lagi seorang insan penyayang, bukan lagi
seorang insan yang lembut dan sopan, juga bukan lagi seorang insan yang halus
bicaranya.
Secara jujurnya,
perubahan pada sikap Datin Syuhada benar-benar menyiksa batin Azman. Ayahnya
pergi dengan membawa bersama sinar cahaya yang dahulunya menjadi penerang di
kala siang, pelita di kala kelam.
Kewibawaan dan
kehebatan Datuk Rosmi sebagai nakhoda kepada bahtera yang mereka layarkan ke
lautan Ilahi benar-benar menjadikan beliau sanjungan isteri serta waris
tunggalnya. Azman, satu-satunya permata yang mampu diberikan oleh Datin Syuhada
dibentuk dan diasuh dengan penuh kasih sayang serta perhatian walaupun amat
sibuk dengan pelbagai urusan di luar kota.
Datuk Rosmi dan
Datin Syuhada sentiasa memastikan waris tunggal mereka mendapat segala yang diperlukan
bagi mendepani dunia yang penuh fatamorgana yang mampu menyesatkan jiwa-jiwa
yang kosong. Sejak kecil lagi, Azman dibentengi dengan ilmu serta pengetahuan
dalam bidang agama. Tidak lupa juga pengetahuan duniawi yang membantunya
berjaya di dunia ini.
Sungguh kiamat itu
benar, dan atas kepercayaan itulah Datuk Rosmi tidak pernah leka dalam
memastikan ahli keluarganya bersedia untuk menerima kedatangan hari itu nanti.
Dia tidak mahu keluarganya tergolong dalam kalangan manusia-manusia yang
kerugian.
Namun, sejak beliau
pergi menyahut panggilan Ilahi, segala-galanya telah berubah. Rumah besar yang
dahulunya terang menjadi gelap-gelita. Sunyi dan sepi tanpa cahaya Ilahi. Tidak
ada lagi kehangatan serta kasih sayang di dalam rumah itu. Pernah suatu ketika
dahulu Azman tersesat dari jalan yang dahulunya pernah dia lalui bersama arwah
ayah tercinta. Imannya cukup rapuh ketika itu. Serapuh besi berkarat yang yang
boleh hancur dengan hanya sekali jentik sahaja. Namun, cepat-cepat dia tersedar
lalu membetulkan landasannya.
Alhamdulillah...Kehadiran
Syakila ke dalam hidupnya memudahkan lagi usahanya kembali ke jalan Allah.
Syakila, sekuntum bunga indah yang dia temui di rumah Allah terus di angkat menjadi zaujahnya sebaik sahaja dia
mengenalinya melalui seorang Ustaz.
Syakila hidup
sebatang kara. Hidupnya di bumi ini menumpang kasih Allah yang disalurkan
melalui seorang insan mulia seperti Ustaz Hasan. Dengan keyakinan bahawa Azman
akan membimbing Syakila ke jalan syurga, Ustaz Hasan dengan rela hatinya menyerahkan
Syakila kepada Azman. Tidak ada sedikit pun keraguan di hatinya terhadap jejaka
soleh seperti Azman. Doanya agar mereka berjaya di akhirat kelak.
***********
" Ila, Mak dah tak
boleh sabar lagi! Mak dah ada calon untuk Azman. Dah lima tahun kau kahwin
dengan Azman, tapi kau tak mampu nak berikan Mak walau seorang cucu pun. Mak
dah tak tahan bermenantukan perempuan cacat macam kau. Sekarang kau pilih sendiri. Sama ada kau
beri Mak cucu dalam masa tiga bulan ni, atau kau izinkan Azman kahwin lagi. Ingat,
Ila! Azman tu satu-satunya anak Mak. Mak tak boleh terus berdiam diri andai
keturunan Mak dibiarkan tak bersambung begini. Lagi satu! Kalau sampai Man tahu
hal ni, kau tahulah nasib kau nanti!”
Panggilan tersebut
hampir saja membuatkan Syakila rebah menyembah bumi. Berkecamuk hati wanitanya
apabila kata-kata keras seperti itu dituturkan kepadanya. Hati wanita mana
tidak sedih jika menerima panggilan seperti itu.
"Astarghfirullahal
‘azim..."
Beristirghfar panjang Syakila sebaik saja menerima amaran keras tersebut.
Sungguh tidak dia sangka, ibu mertua yang selama ini disanjungnya bagai ibu
kandung sendiri sanggup menuturkan kata-kata tersebut terhadapnya. Syakila
sedar siapa dirinya. Wanita yang serba kekurangn, wanita yang tidak sempurna.
Bukan dia tidak
pernah berusaha. Sudah bermacam -macam ikhtiarnya dengan Azman. Namun, tidak
satu pun usahanya menunjukkan hasil yang diinginkan. Syakila redha, mungkin
Allah masih ingin mengujinya. Ujian ini adalah suatu tarbiah buatnya. Bibirnya
tidak pernah putus berdoa kepada Allah. Doanya agar suatu hari nanti Allah akan
mengurniakannya seorang permata yang bakal mendoakan dia dan suaminya di saat
mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini.
Nabi Ibrahim a.s.
yang mendapat tempat khusus di sisi Allah tidak pernah mengeluh walaupun
dikurniakan dengan cahaya mata hanya ketika usianya sudah lanjut. Inikan pula
dirinya. Dirinya yang hanya merupakan makhluk yang lemah lagi hina di sisi
Allah. Syakila yakin bahawa ujian yang didatangkan kepadanya tidak sia-sia.
Pasti ada hikmah di sebaliknya. Sama seperti pelangi indah yang muncul sesudah
hujan di siang hari.
***********
Syakila menyambut
kepulangan cinta hatinya dengan senyuman yang paling manis. Dia tidak mahu
bermuram durja apabila sedang bersama suaminya. Syakila cuba memaniskan
wajahnya semanis yang mungkin. Walaupun begitu, ada kesedihan di mata beningnya
yang terkesan oleh Azman. Segera Azman mencari puncanya.
" Ila, kenapa ni?
Kenapa isteri Abang sedih hari ni? Patutlah air panas yang Abang minum ni pun
terasa sejuk je. Rupa-rupanya, ada orang tengah berduka ni....", lembut sekali bicara Azman terhadap ratunya itu.
Diselitkan sedikit jenaka dalam kata-katanya tadi. Dia cuba memancing tawa
Syakila.
Syakila menjadi
sedikit gugup. Sungguh dia gagal menjadiaktres
terbaik setiap kali berdepan dengan suami tercinta. Walaupun begitu, dia tidak
semudah-mudahnya meluahkan segala rasa pahit yang sedari tadi dipendamnya jauh
di lubuk hati yang paling dalam. Biarlah hempedu itu dia telan sendiri. Dengan
suara yang manja, Syakila membalas gurauan suaminya.
" Abang tu la...
Keluar tak ajak Ila pun. Lepas tu, tinggalkan Ila lama-lama kat sini.
Sorang-sorang pula tu. Ila rindu tau..."
Azman ketawa besar.
Sikap manja yang ditunjukkan oleh isterinya yang terkadang tegas itu benar-benar
mencuit hatinya. Dia merangkul erat permaisurinya itu. Sungguh dia kasih
akannya. Tidak pernah sekali pun dia menyesali pernikahannya dengan Syakila.
Kehadiran sekuntum bunga indah ke dalam hidupnya sudah cukup untuk membuatkan
Azman mengucap syukur kepada Allah di setiap hembusan nafasnya. Mereka bahagia
walaupun setelah lima tahun, rumah itu masih belum dihiasi dengan tawa riang
anak kecil.
*********
Lena Syakila malam
itu ditemani air mata duka. Ditatapnya puas-puas wajah tenang yang sedang lena diulit
mimpi di sebelahnya. Bila difikirkan semula, ada betulnya juga kata-kata ibu
mertuanya tadi petang. Azman perlu meneruskan keturunannya. Syakila mula
memikirkan kembali akan keputusan besar yang harus dia hadapi nanti.
Lama dia
beristikharah malam itu. Pintanya agar dia diberi kekuatan dan kebijaksanaan
dalam membuat keputusan yang sebaiknya. Kasihnya pada Azman terlalu tinggi.
Andai seorang zuriat mampu menyerikan lagi hidup Azman, Syakila rela. Dia rela
berkongsi kasih meskipun hatinya bakal terluka. Apa yang penting baginya adalah
kebahagiaan Azman.
"Ya Allah...
Berikanlah hamba-Mu ini kekuatan dalam mengharungi cabaran dari-Mu...", rintih hati kecil Syakila. Air matanya bercucuran
mengenangkan suami yang mungkin akan dikongsikan bersama wanita lain nanti.
Andai saja dia bisa
menjadi sekuat Sarah. Sarah, isteri milik Nabi Ibrahim a.s. Wanita mulia yang
cukup kuat untuk berkongsi kasih sayang suami tercinta bersama seorang wanita
lain bernama Hajar. Wanita mulia yang akhirnya dikurniakan Allah seorang zuriat
atas kesabaran serta keteguhannya.
*********
Dua bulan berlalu.
Pertemuan Azman dan ibunya tidak lagi diisi pertelingkahan apabila Azman
membawa Syakila dengan sebutir permata yang sedang
membesar di dalam rahimnya. Sejak hari itu, sikap Datin Syuhada terhadap
Syakila berubah serta-merta. Rajin sekali dia menjaga Syakila. Sungguh dia kini
kasih pada menantunya itu. Menantu yang dahulu dia caci maki dek kerana
kekurangannya sebagai seorang wanita. Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Doa
Syakila serta Azman yang bertahun-tahun lamanya termakbul jua.
"Ila, Abang redha
Ila sebagai isteri Abang selama ini. Abang halalkan makan minum Ila. Abang
ampunkan segala dosa-dosa Ila. Abang tunggu Ila kat sini. Abang tunggu Ila
datang dengan permata kita. Abang sayangkan Ila.”
Azman mengucup
lembut dahi isterinya yang bakal dibawa masuk ke wad bersalin sebentar sahaja
lagi. Syakila tetap tersenyum manis walaupun kesakitan yang dia tanggung hanya
Allah sahaja yang tahu.
Tempoh sembilan
bulan menunggu kehadiran si permata cukup membahagiakan
buat Azman. Kasihnya pada Syakila kian mekar sepanjang tempoh itu. Anak yang
mereka gelarkan permata itu seringkali mereka perdengarkan dengan bacaan
ayat-ayat suci Al-Quran setiap malam. Sungguh kasihnya mereka kepada zuriat
mereka yang bakal lahir itu.
**********
Tiga jam berlalu
begitu sahaja. Tangisan bayi perempuan yang memenuhi ruang tersebut cukup
menggembirakan Azman. Namun, hatinya tidak keruan kerana tangisan itu tidak
datang sendirian. Ada tangisan lain yang mengiringinya. Azman kenal suara itu.
Cukup kenal.
Dia segera merempuh
ke dalam wad tanpa menghiraukan para jururawat yang sedang bertugas. Dilihatnya
Syakila sedang tidur. Dia tersenyum senang. Dihampirinya jasad lemah itu.
Dikucupnya dahi Syakila dalam-dalam. Namun, saat dia memberikan kucupan
tersebut, dia tidak dapat mengesan hembusan nafas Syakila. Ditatapnya wajah itu
puas-puas. Jasad itu sudah kaku. Tidak bergerak lagi.
Azman tersungkur di
hadapan jasad kaku tersebut. Sesungguhnya, Syakila telah syahid
dalam pertarungan agung itu.
No comments:
Post a Comment