Saturday, April 20, 2013

Diabetes Semasa Mengandung (GDM On Diet Control)

Assalamualaikum... Sedikit perkongsian untuk ibu-ibu hamil yang menghadapi cabaran dan ujian dengan kencing manis semasa mengandung...


Sumber:- http://sumijelly.com/2011/03/04/memahami-apa-itu-ujian-cabaran-glukos-gct-mgtt/


Senario :

Kandungan Linda masuk minggu ke-25. Semasa pemeriksaan kesihatan rutin, dia diminta mengambil Ujian Cabaran Glukos (GCT). Dia mengambil minuman yang mengandungi 50g glukosa dan sampel darah diperoleh daripada lengannya sejam kemudian.

Beberapa hari kemudian doktor memaklumkan bahawa paras glukosa dalam darahnya lebih tinggi dari paras normal. Linda mungkin mengalami diabetes kehamilan (Gestational Diabetes Mellitus, GDM).

Linda perlu kembali ke klinik untuk mengesahkannya dengan Ujian Toleransi Glukosa Oral (OGTT). Tiga hari kemudian, selepas berpuasa selama 8 jam, Linda datang semula ke klinik pada awal pagi.

Dia diberi minuman glukosa yang lebih tinggi kepekatannya dan sampel darahnya diambil sebelum dan pada setiap jam untuk tempoh dua jam. Keputusan ujian itu mengesahkan bahawa Linda menghidap GDM.

Linda bingung. Dia sangat prihatin tentang pemakanannya. “Apakah GDM dan bagaimana ia dapat menjejaskan keadaan saya dan bayi saya?” Linda berfikir.

GDM

Diabetes Kehamilan atau biasanya dipanggil sebagai GDM merupakan satu keadaan serius yang berlaku kepada wanita hamil yang sebelum ini tidak mengetahui ada menghidap diabetes, tetapi kini mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi dari paras mereka yang hamil normal.

Paras glukosa darah selepas berpuasa bagi orang yang tidak menghidapi penyakit kencing manis adalah di antara 4 dan 6.6 mmol glukosa per liter. Walau bagaimanapun, paras sehingga 7.8 mmol/L adalah paras yang boleh diterima. Paras glukosa darah pos-prandial (selepas makan) sehingga 10 mmol/L adalah paras yang boleh diterima. Paras di bawah 4 mmol/L menunjukkan paras glukosa darah yang rendah.
Dengan nilai yang begitu rendah, biasanya simptom hipoglisemia hadir pada orang itu.

GDM biasanya dikesan pada minggu ke 24 hingga minggu ke 28 kehamilan dan berlaku kepada hampir 20 peratus wanita hamil setiap tahun. Jika tidak dirawat, GDM boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada ibu dan bayi yang dikandung.

GDM mungkin berlaku kerana anda sudah menghidap diabetes (paras glukosa darah yang tinggi) sebelum hamil dan ini telah menjadi lebih nyata akibat stres daripada kehamilan.

Walau bagaimanapun, lebih kurang 90 peratus daripada kes GDM terjadi apabila badan anda tidak berupaya untuk menggunakan insulin dengan berkesan (hormon yang dihasilkan oleh pankreas untuk membolehkan glukosa masuk ke dalam sel-sel badan) ketika kehamilan.

Ini mungkin terjadi disebabkan oleh plasenta (organ yang membekalkan zat pemakanan kepada bayi melalui tali pusat) mula mengeluarkan hormon-hormon yang menghalang insulin untuk berfungsi secara berkesan.

Plasenta anda akan membesar pada trimester kedua dan ketiga, di mana lebih banyak hormon penghalang dikeluarkan dan seterusnya menyebabkan rintangan yang lebih tinggi terhadap tindakan insulin.

Lazimnya, pankreas anda akan bertindak balas dengan menghasilkan insulin tambahan untuk menangani rintangan tersebut. Bagaimanapun, anda mungkin memerlukan lebih tiga kali ganda insulin dari keadaan biasa.

Hasilnya, glukosa yang diserapkan ke dalam sel-sel badan menjadi terlalu sedikit dan glukosa yang tertinggal di dalam aliran darah pula meningkat tinggi.

GDM adalah berbahaya

GDM, jika tidak diurus dengan baik boleh membahayakan bayi anda.

Paras glukosa darah yang tinggi dalam aliran darah anda boleh memasuki plasenta, dan menyebabkan bayi anda juga mengalami paras glukosa darah yang tinggi.

Oleh kerana itu, pankreas bayi anda turut bertindak menghasilkan insulin tambahan untuk merendahkan paras glukosa darah yang tinggi.

Bayi akan mendapat tenaga (dalam bentuk glukosa) yang berlebihan dari yang diperlukannya, dan tenaga lebihan ini akan tersimpan sebagai lemak badan yang akan menyebabkan makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih).

Jika bayi anda mengalami makrosomia, dia berkemungkinan akan menghadapi masalah kesihatan yang serius seperti kecederaan di bahu semasa kelahiran.

Walaupun tidak mempunyai makrosomia yang nyata, bayi anda mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia) selepas dilahirkan, masalah pernafasan dan penyakit kuning (jaundis) yang berlarutan.

Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.

GDM juga boleh mendatangkan masalah kepada ibu. Dalam kebanyakan kes, jika bayi anda besar, anda akan mengalami kerumitan ketika melahirkan bayi dan anda mungkin perlu menjalani pembedahan caesarean.

Anda juga berisiko tinggi mendapat praeklampsia (berkait dengan peningkatan tekanan darah yang tinggi yang boleh menjadi serius, sehingga membahayakan keadaan bayi dan diri anda) semasa kehamilan.

Anda juga lebih mudah untuk mendapat GDM lagi semasa kehamilan akan datang. Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, wanita yang pernah mengalami GDM mempunyai 20 hingga 50 peratus kemungkinan untuk mendapat diabetes jenis 2 dalam tempoh 5 hingga 10 tahun selepas kehamilan.

Walau bagaimanapun, ini boleh dicegah – seperti yang telah dibuktikan dalam beberapa kajian ternama yang menunjukkan bahawa pengubahsuaian gaya hidup sahaja atau dengan penambahan ubat-ubatan oleh individu yang berisiko tinggi (termasuk wanita yang menghidap GDM) dapat mengurangkan sehingga 58 peratus risiko menghidap diabetes jenis 2.

Merawat GDM

Bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana GDM boleh diurus dan dirawat.

Rawatan untuk GDM termasuklah mengambil langkah-langkah untuk memastikan paras glukosa darah anda sentiasa berada di paras normal ketika mengandung.

Doktor akan menasihatkan anda supaya mengikuti pelan pemakanan yang sesuai dan juga meningkatkan aktiviti fizikal supaya paras glukosa darah yang tinggi dapat dikurangkan.

Anda juga perlu memantau paras glukosa darah anda dengan kerap (secara ideal, 4 hingga 6 kali sehari) bagi memastikan paras glukosa darah sentiasa berada di tahap yang normal.

Sesetengah wanita yang menghidap GDM mungkin memerlukan suntikan insulin, selain daripada amalan pemakanan sihat dan bergiat aktif dalam aktiviti fizikal, untuk mencapai paras glukosa darah yang disarankan.

Ubat antidiabetik secara amnya tidak disarankan ketika mengandung. Tetapi, terdapat kajian-kajian terkini yang menunjukkan bahawa sesetengah agen hipoglisemik oral (OHA) adalah selamat untuk digunakan ketika hamil.

Doktor mungkin mempreskripsikan salah satu ubat-ubatan ini jika peningkatan paras glukosa darah anda tidak terlalu tinggi.

Berita baiknya, pemantauan paras glukosa darah yang kerap di samping mengamalkan diet sihat dan kerap bersenam adalah sudah cukup untuk mengawal GDM anda sekali gus dapat mengurangkan risiko terhadap anda dan bayi.

Selepas bayi anda dilahirkan dan hormon plasenta sudah tidak lagi mengalir dalam badan anda, paras glukosa dalam darah anda biasanya akan kembali ke paras normal (melainkan jika paras glukosa anda sememangnya sudah tinggi, tetapi tidak disedari, sebelum hamil).

Oleh itu, anda tidak perlu berasa terlalu bimbang terhadap keadaan ini, namun begitu, anda perlu menjaga diri dengan baik dan nikmatilah kehamilan.

Adakah anda berisiko?

Anda berisiko tinggi menghidap GDM jika:
# Berumur 25 tahun atau lebih
# Ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa atau adik-beradik, menghidap diabetes jenis 2
# Anda menghidap GDM ketika kehamilan yang lalu
# Anda mempunyai berat badan yang berlebihan sebelum anda hamil
# Anda pernah melahirkan bayi yang mati dalam kandungan atau melahirkan bayi yang mempunyai berat lebih 4kg ketika kehamilan terdahulu.

Doktor akan menjalankan ujian cabaran glukosa ke atas anda untuk mengesan GDM sama ada semasa lawatan pertama jika anda berisiko tinggi atau pada minggu ke 24 hingga 28 kehamilan, jika risiko anda tidak begitu tinggi.

Anda akan diberikan minuman berglukosa dan selepas itu (biasanya sejam kemudian), sampel darah akan diambil untuk menentukan paras glukosa darah.

Bacaan di bawah 7.8 mmol/L biasanya dianggap normal untuk ujian cabaran glukosa ini tetapi doktor mungkin akan mengulangi ujian tersebut jika anda berisiko tinggi.

Jika paras glukosa darah anda tidak dalam lingkungan normal, anda akan dikehendaki mengambil OGTT untuk mengesahkan sama ada anda menghidapi GDM.

Prof. Mustaffa Embong ialah Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara (NADI).

Rujukan Lain :
http://leenirdina.blogspot.com/2012/02/diabetes-semasa-mengandung-gdm-on-diet.html
http://fiezaliesa.blogspot.com/2011/11/apa-itu-gdm.html
http://www.slideworld.org/slideshow.aspx/Kencing-Manis-Semasa-Mengandung-ppt-2846588

4 comments:

  1. perkongsian yang menarik. thanks admin. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah... Info yang elok sesuai untuk perkongsian...

      Delete
  2. Perkongsian yang bermanfaat..Mohon share beberapa info dri sini, nak masuk dalam entri blog saya yer..Terima kasih dan salam perkenalan..^_^

    http://nurkids2u.blogspot.com/

    ReplyDelete
  3. Apa yang ada untuk dikongsi... Terima kasih kerana mengunjungi blog saya. Salam perkenalan juga.. :)

    ReplyDelete