Wednesday, November 28, 2012

Men And Women (Suami Dan Isteri)



*kredit artikel: kapt.hafizfirdaus

Assalamualaikum...
Saya yakin para pembaca sekalian yang terdiri daripada bakal-bakal pengantin ingin mendirikan rumahtangga yang berasaskan al-Qur’an dan al-Sunnah. InsyaAllah, saya akan mengupas secara bersiri sebuah ayat al-Qur’an yang amat penting berkaitan alam rumahtangga. Amat penting sehingga saya akan mengupasnya secara panjang lebar, amat penting sehi
ngga saya berharap para bakal pengantin sekalian dapat menghafalnya agar dapat dipraktikkan kelak. Bahkan hendaklah disarankan kepada rakan-rakan yang sudah bernikah agar mereka juga mempelajari, menghafal dan mempraktikkan ayat ini.

# Ciri Khusus Lelaki
Ayat al-Qur’an yang saya maksudkan ialah ayat 34 surah al-Nisa’. Ayat ini agak panjang, maka untuk kolum edisi bulan ini saya hanya akan fokus kepada rangkap pertama ayat tersebut yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

“Kaum lelaki…” yang disebut di permulaan ayat ini bersifat umum, merangkumi semua lelaki tanpa terhad kepada suami sahaja. Ia umum meliputi pemimpin ke atas rakyatnya yang wanita, ayah ke atas anak-anak perempuannya, suami ke atas isterinya dan lelaki ke atas mana-mana wanita yang lain. Memandangkan kolum ini ditujukan kepada bakal-bakal suami, maka kita akan mengupas erti “Kaum lelaki…” yang disebut dalam ayat di atas dalam konteks seorang suami.

Ayat ini juga tidak bersifat pilihan, sebaliknya bersifat menetapkan satu kewajipan ke atas para lelaki sebagai qawwamun ke atas kaum wanita. Kewajipan “pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan” diterjemah dari teks Arab al-Qur’an: Qawwamun. Qawwamun adalah jamak (plural) bagi qawwam yang satu (singular). Qawwam berasal dari kata Qaim yang bererti bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurusi, prihatin, memimpin, mengawal dan membela. Seorang yang qawwam adalah orang yang memiliki sifat qaim secara berterusan, iaitu dia secara berterusan mengambil berat, bertanggungjawab, memenuhi keperluan, mengurusi, prihatin, memimpin, mengawal dan membela kaum wanita.

Seorang suami tidak disebut sebagai qawwam jika dia mengabaikan isterinya atau hanya sekali-sekala memerhatikan hal-ehwal isterinya. Seorang suami yang tidak qawwam bererti telah mengabaikan peranan yang Allah wajibkan ke atasnya. Justeru dia berdosa kerana pengabaian ini, bahkan tidak lagi layak disebut sebagai lelaki. Ini kerana tidaklah seseorang itu disebut “lelaki” melainkan dia qawwam ke atas kaum wanita. 

# Qawwam Bukan Boss
Jika di satu ekstrim ada suami yang mengabaikan isterinya, di ekstrim yang lain ada pula suami yang melayan isterinya bagai pekerja buruh atau amah (pembantu rumah). Mereka memahami qawwam sebagai pemimpin sahaja, lalu mereka menjadi pemimpin yang zalim lagi ala diktator.

Penting untuk dibetulkan bahawa pemimpin termasuk dalam pengertian qawwam tetapi ia bukanlah satu-satunya erti qawwam. Suami yang memimpin tetapi tidak berterusan mengambil berat, bertanggungjawab, memenuhi keperluan, mengurusi, prihatin, mengawal dan membela kaum wanita tidak disebut sebagai qawwam. Suami seperti ini sekali lagi tidak layak disebut sebagai “lelaki” dan telah berbuat salah di sisi Allah kerana telah menyalahguna peranan yang Allah tetapkan ke atasnya.

# Setiap Sesuatu Dicipta Sesuai Dengan Peranannya
Jika diperhatikan sudu, garpu dan pisau, setiap satu memiliki reka bentuk yang khusus sesuai dengan kegunaan. Demikianlah juga dengan pelbagai peralatan lain seperti cawan, gelas, pinggan, periuk, setiap satunya dicipta sesuai dengan peranannya.

Manusia tidak jauh bezanya. Allah mencipta lelaki dan wanita dengan ciri-ciri biologi dan psikologi yang sesuai dengan peranan masing-masing di dunia ini. Oleh itu apabila Allah menetapkan peranan qawwam ke atas kaum lelaki, Allah juga telah mencipta lelaki agar sesuai dengan peranan tersebut. Inilah antara maksud di sebalik firman Allah: “Oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan.”

Maka dengan itu yakinlah wahai bakal-bakal suami dan para suami, apa jua tahap pendidikan anda, apa jua kerjaya anda dan apa jua perbezaan anda dengan lelaki yang lain, anda semua telah siap dicipta dan “diprogram” oleh Allah untuk memegang peranan qawwam ke atas isteri anda. Jika ada yang merasakan dirinya tidak mampu, tidak tahu atau kurang cemerlang dalam melaksanakan peranan ini, itu ertinya anda belum memanfaatkan sepenuhnya ciri qawwam dalam diri anda. Dalam erti kata lain, ada bakat qawwam yang masih tersembunyi dalam diri anda. Ayuh keluarkannya! Ayuh tonjolkannya! Ayuh jadi lelaki yang sejati!

# Tidak Terhad Kepada Memberi Nafkah
Rangkap pertama ayat 34 surah al-Nisa’ diakhiri dengan firman Allah: “Dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” Di sini Allah menerangkan salah satu ciri qawwam seorang suami, iaitu memberi nafkah kepada isterinya. Perlu digariskan bahawa memberi nafkah adalah salah satu ciri qawwam seorang suami dan ia bukan satu-satu ciri qawwam tersebut.

Sebelum berpisah, ingin saya sentuh tentang salah faham sebahagian pejuang hak wanita yang menyatakan kononnya rangkap pertama ayat 34 surah al-Nisa’ ini menindas kaum wanita. Padahal jika difahami dengan baik, ayat ini sebenarnya memuliakan kaum wanita dengan adanya kaum lelaki (suami) yang menjadi qawwam ke atas mereka. Ringkasnya, kaum wanita dapat duduk bergoyang kaki sementara kaum lelaki bekerja keras menjadi qawwam ke atas mereka.
Wallahualam...

No comments:

Post a Comment