Monday, June 11, 2012

Manusia Di Uji ALLAH SWT Dengan Cara-cara Berbeza


Setiap manusia akan diuji dengan ujian.... Cuma ujian yang diterima adalah berbeza... Jadi terimalah ujian itu dengan redha dan ikhlas...




Setiap individu akan diuji dengan kegagalan, kekecewaan, kemiskinanatau kesakitan. Malah kebahagiaan, kemewahan, dan kecantikan juga antara ujian buat mereka.

Hakikatnya, manusia diuji dengan cara berbeza-beza bagi menilai rasa kehambaan kepada Penciptanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Katakanlah: Tidak sesekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Tawbah ayat 51).

Sebab itu, apabila ditimpa ujian, kita perlu pasrah dengan apa yang berlaku malah tidak sesekali mempersoalkannya. Umat Islam juga diajar supaya mengucapkan kalimah istirja’ iaitu ‘Inna lillah wa inna ilaihi raji’un’ apabila ditimpa ujian.

Maksudnya, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah SWT dan kepada-Nya kami kembali.

Tidak terlepas dalam masyarakat kita, ada mempercayai musibah yang berlaku datangnya daripada sial, badi atau nasib malang.

Contohnya, mengaitkan musibah yang berlaku seperti perniagaan merudum, bankrap atau ditimpa bencana berpunca daripada sial yang dibawa oleh anak.

Berpegang kepada kepercayaan itu, ada yang sanggup membunuh, mencederakan serta menyisihkan anak yang tidak berdosa itu. Jika begitulah tahap pemikirannya, jelas mereka terbabit dengan kepercayaan karut lagi menyesatkan.

Mereka tidak tahu bersyukur dan menghargai ‘harta’ yang cukup bernilai itu. Sekiranya umat Islam faham dengan konsep qada’ dan qadar Allah, mereka tidak akan merasa kecewa, sebaliknya bersangka baik dengan Allah dan bersedia mengharungi dugaan itu dengan penuh reda.

Anak adalah anugerah Allah yang cukup berharga kepada ibu bapa. Mereka juga amanah untuk dipelihara dengan sempurna termasuk memastikan keselamatannya di dunia dan akhirat.

Kekuasaan Allah SWT dalam menentukan sesuatu perkara bersifat mutlak. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: ‘Jadilah’. Lalu jadilah ia.” (Surah al-Baqarah, ayat 117).

Apabila memilih untuk ‘menentang’ takdir ternyata kita tidak dapat menerima hakikat kehidupan sebenar malah memilih untuk memberontak serta mempersoalkan.

Bagi yang sudah dikurniakan zuriat sendiri, peliharalah anak itu dengan sebaiknya. Berdoalah supaya anak itu kelak menjadi soleh dan solehah. Anak tidak membawa sebarang dosa yang diwarisi daripada kedua ibu bapanya.

“Anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Hadis itu menjelaskan bayi yang dilahirkan suci daripada sebarang dosa dan kesalahan. Jadi, salah sekali bagi mereka yang berpendapat anak kecil yang baru dilahirkan, membawa sial atau malapetaka kepada keluarganya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (Surah al-Najm, ayat 38).

Pemahaman karut mengenai sial yang dibawa seorang anak adalah antara pemahaman golongan Arab Jahiliah sebelum kedatangan Islam.

“Golongan ini berpendapat anak perempuan yang baru dilahirkan akan mendatangkan keaiban dan malapetaka terhadap keluarga mereka. Maka, mereka akan menanam bayi perempuan itu hidup-hidup.

“Hal ini dirakamkan Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: 

“Sekiranya salah seorang diberitahu kelahiran anak perempuan, mukanya menjadi merah kerana terlalu marah dan mereka menyembunyikan diri daripada kaumnya kerana keburukan daripada berita yang disampaikan. Apakah patut dipeliharanya dengan rasa malu atau ditanam dalam tanah. Alangkah buruknya apa yang mereka putuskan”. (Surah al-Nahl, ayat 58-59).

“Terdapat juga di kalangan ibu bapa yang merasa khuatir tidak dapat menyara kehidupan anak mereka, lantas membunuh anak yang tidak berdosa itu,” katanya.

Urusan rezeki adalah ketetapan dan tidak wajar manusia merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan bagi membesarkan zuriat mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31).

“Berdasarkan dalil itu, pendapat sesetengah daripada masyarakat kita mengenai sial yang datangnya dari anak adalah tidak benar sama sekali. 

Sebaliknya, kita perlu faham kelahiran zuriat adalah rahmat bagi sesebuah keluarga. Cukup besar ganjaran yang Allah kurniakan bagi mereka yang berjaya memikul amanah itu dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: 

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28).

Masih terdapat banyak amalan karut berkaitan kelahiran bayi yang masih diamalkan masyarakat Melayu hari ini.

“Kepercayaan itu boleh merosakkan akidah mereka. Contohnya, adat ‘kirim perut’ yang dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan.

“Ia dilakukan bidan bagi membuang sial atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil selain membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.

“Selepas kelahiran, terdapat adat yang dipanggil ‘turun tanah’ yang diraikan bagi anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya.

“Tidak kurang juga bayi yang dipakaikan tangkal kuning atau hitam di pinggangnya bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Semua amalan itu tidak disyariatkan Islam malah perlu ditinggalkan kerana boleh membawa kepada syirik.

Ingatlah, dosa syirik adalah dosa besar yang tidak diampunkan Allah SWT.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment