Wednesday, May 2, 2012

Wanita Datang Darah Haid dan Istihadhah






Salam ustaz... saya nak tanya, setahu saya darah yg keluar lebih 14 hari itu dikira darah penyakit dan wajib muslimah kena solatkan. Soalan saya, apaka ciri2 lain bagi darah penyakit too, ciri fizikal contohnya warna. Dan apakah penyakit tersebut. Adakah ia berbahaya... Terima kasih ustaz

Jawapannya
Menurut Syaikh Muhammad Al-Shalih Al-Utsaimin dalam kitabnya Petunjuk Al-Qur’an dan Al-Sunnah berkenaan Haid, Istihadah dan Nifas yang mengatakan bahawa :

“Haid dari sudut bahasa ialah: turun sesuatu secara mengalir. Dari sudut syara’, haid ialah darah yang keluar dari wanita kerana fitrah kejadiannya tanpa sebarang sebab. Ia keluar pada waktu-waktu yang diketahui. Ia adalah darah fitrah yang keluar bukan kerana sakit, luka, keguguran atau kelahiran.”

Masa keluarnya darah haid
Lama masa keluar darah haid itu sekurang-kurangnya sehari semalam dan selanjut-lanjut masanya selama lima belas hari siang dan malam, kebanyakannya iaitu masa yang biasa keluar selama enam atau tujuh hari.

Perkara yang dilarang Ketika Haid
Wanita yang didatangi haid dilarang mengerjakan solat fardhu atau sunat, puasa fardhu atau sunat, sujut tilawah atau sujud syukur, tidak boleh tawaf fardhu atau sunat, tidak boleh membaca Al-Quran atau menyentuhnya, tidak boleh memasuki masjid, dilarang menceraikan isteri ketika haid, tidak boleh disetubuhi oleh suaminya dan dilarang bersuka-suka di antara pusat hingga lutut. (ringkasan dari kitab Hidayatu Subiyan).

Warna Darah Haid

Warna darah yang keluar dari faraj perempuan ialah : warna hitam, warna merah, warna kelabu, warna kuning tua (coklat).

Cara memastikan Suci Dari Darah Haid
Hadis Nabi Yang diriwayatkan oleh Aisyah :

“Apabila haid kamu telah habis, maka mandilah dan tunaikanlah solat”.

Jelas di sini bahawa wanita yang mendapati darahnya telah kering dari warna-warna darah haid, maka dia boleh mandi hadas dan menunaikan solat seperti wanita lain yang suci. Hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Engkau kedatangan haid selama enam hari atau tujuh hari adalah didalam pengetahuan Allah Taala, kemudian engkau mandilah dan apabila telah engkau ketahui akan diri engkau telah suci dan bersih maka hendaklah engkau sembahyang dan berpuasa selama dua puluh empat atau dua puluh tiga hari dalam sebulan yang demikian adalah memadai bagi engkau . begitulah hendaknya engkau perbuat ditiap-tiap bulan sebagaimana suci mereka itu bagi masa haid dan masa sucinya.” (Riwayat Abu daud, Tarmizi)

Untuk memastikan darahnya telah kering ataupun belum, maka wanita itu boleh memasukkan cotton buds atau kapas dalam farajnya, jika di dapati adanya darah, maka wanita tersebut tidak perlu mandi lagi dan ia masih dalam keadaan berhadas.

Kaedah di atas diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina Aisyah ra :

“Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid.” Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”(Riwayah Imam al-Bukhari dan Imam Malik).

Maksud kapur putih itu ialah cecair yang keluar dari faraj wanita berwarna putih seperti kapur putih yang tiada terlibat dengan warna kuning, merah dan warna-warna haid, maka wanita itu boleh mandi dan suci daripada haid.

Darah Istihadhah
Menurut Pendapat As-Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqh Sunnah Jilid 1 mengatakan bahawa :
“Istihadhah adalah darah yang keluar secara berterusan dan keluar bukan pada waktunya.”

Di sini ada tiga perbahasan mengenai darah istihadhah iaitu :

Pertama : Istihadhah adalah darah yang keluar lebih dari kebiasaan haidnya, maka itu dikira sebagai darah istihadhah (penyakit). Wanita yang keluar darah melebihi kebiasaan haidnya, maka diwajibkan mandi dan boleh melaksanakan segala amalan yang terhalang ketika haid. Hadis dari Aisyah bahawa :

“Fatimah binti Abi Hubaisyh ra telah mengadu kepada Nabi SAW : Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat? Nabi s.a.w. menjawab : Tidak, sesungguhnya itu adalah darah dari urat, bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat." (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Sebagai wanita muslim yang peka dengan masalah ini apabila datangnya darah haid, maka terlebih baik dia menandakan pada kalendar atau membuat catitan tarikh datangnya haid supaya dia tidak lupa dan tidak bercelaru dengan tarikh mula datangnya haid. Tindakan ini penting untuk wanita menghitung jumlah hari haidnya dan secara tidak langsung dia mudah mengetahui bahawa darahnya telah melebihi dari kebiasaan haidnya. Dalilnya Ummu Salamah ra bahawa :

“Dia meminta fatwa kepada Nabi SAW mengenai seorang perempuan yang selalu mengeluarkan darah. Nabi SAW bersabda : Hendaklah perempuan itu mengenal pasti terlebih dahulu bilangan malam dan siang selama haid serta kadar hari-harinya pada setiap bulan. Setelah mengetahui waktu haid dan kadarnya itu, maka hendaklah ia menghentikan solat pada waktu-waktu tersebut. Sesudah waktu haid itu berakhir, dia dikehendaki menampalkan kemaluannya dengan sehelai kain, lalu kerjakanlah solat.” (Diriwayatkan oleh Malik, As-Syafie, Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Kedua : Bagi wanita yang keluar darah haid tidak teratur waktu kebiasaannya, maka wanita itu perlu membezakan (tamyiz) warna darah yang keluar, baunya dan sifat kekentalannya maka itu dikira haid. Jika darah yang keluar itu berbeza dari sifat darah haid, maka itu dikira darah istihadhah. Hadis dari Saidatina Aisyah ra yang menceritakan :

“Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadhah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya : Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhuk dan kerjakanlah solat.”(Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).

Ketiga : Manakala wanita yang tidak boleh membezakan antara sifat darah haidnya iaitu warna, bau, kekentalannya, terlupa tarikh datangnya haid dan darah itu berterusan tidak berhenti. Maka dia dikira sebanyak-banyak keluarnya haid iaitu 15 hari dan malamnya. Darah yang keluar lebih dari 15 hari dan malamnya itu dikira sebagai darah istihadhah. Ini menurut perbahasan yang terdapat dalam kitab Hidayatul Subiyan dan Kitab Al-Mukhtasar Al-Mufid.

Ciri-ciri Darah Istihadhah
Berbeda dengan darah haid, darah istihadhah mempunyai ciri-ciri sebagai berikut : Warnanya merah, tipis, baunya seperti darah biasa, berasal dari urat yang pecah/putus dan ketika keluar langsung mengental.

Sebab Berlakunya darah Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar dari urat yang hampir dengan rahim perempuan yang dinamakan al-azal iaitu urat atau sejenis kulit yang berada didalam faraj (hampir dengan rahim) perempuan dan disitulah tempat masuknya air mani lelaki yang bakal menjadi anak dan dari situ juga keluarnya darah nifas.

Adakalanya wanita yang mengalami istihadhah adalah wanita yang terganggu hormon anggota badannya. Ada yang disebabkan strees kerja atau sebagainya dan ada juga yang disebabkan pembedahan. Kalau wanita yang mengalamai istihadhah berpanjangan, maka terlebih baik mendapatkan rawatan atau berjumpa pakar di hospital atau klinik.

Penutup
Saya memohon maaf atas penjelasan yang celaru dan tidak sampai kepada maksud perbahasan, Ini sahaja yang mampu saya sediakan dan jika ada kesilapan dan teguran dari orang yang alim fiqh, maka saya alu-alukan untuk memberikan teguran dan berkongsi ilmu yang baik ini untuk dimanfaatkan semua.

No comments:

Post a Comment